25 C
Kota Kinabalu
Saturday, January 22, 2022

Penubuhan ASTIF perkukuh industri kreatif di Sabah

Akademi ini menyasarkan penyediaan tenaga pakar yang mahir  dalam pelbagai bidang industri kreatif meliputi karyawan, usahawan seni.

Ia membabitkan mereka yang inovatif dan kreatif, pemikir serta pengurus  industri yang dapat memahami pelbagai bidang ilmu rentas disiplin yang melibatkan bidang kreatif dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ASTiF menyediakan peluang dalam industri kreatif melalui penawaran program akademik dan kursus-kursus profesional sesuai dengan keperluan pasaran semasa tanpa mengetepikan nilai moral dan etika bagi melahirkan masyarakat yang inovatif dan berakal budi.

ASTiF menawarkan tiga program pengajian yang membimbing pelajar untuk berfikir secara kreatif dan innovatif.

Katanya, kelebihan ASTiF untuk meneroka pelbagai bidang industri kreatif sangat tinggi kerana potensi sumber idea dan bahan di Sabah sangat unik dan boleh direalisasikan melalui penawaran kursus-kursus yang berbentuk teori dan praktikal di akademi tersebut.

“ASTiF menawarkan kuliah bersifat teori, simulasi, praktikal berasaskan teknologi kreatif dan gunaan berdasarkan keperluan semasa, dengan pengajaran dan pembelajaran secara bersepadu berpandukan modul atau kursus-kursus yang disusun oleh para pensyarah dan pakar industri berpengalaman.

Seni catan dan lukisan antara kursus yang ditawarkan di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.

“Dari aspek pengajaran dan pembelajaran, pihak UMS berharap untuk menjadikan akademi seni ini sebagai pusat pendidikan terulung di peringkat prasiswazah dan juga pascasiswazah yang mampu menatar, memasar dan memasyarakatkan seni.

“Ia merupakan satu usaha UMS bagi memastikan pemantapan ekosistem industri kreatif di Sabah melalui kewujudan tenaga mahir dan pakar,” katanya.

UMS juga menyasarkan untuk menjadikan ASTiF sebagai sebuah akademi seni yang inovatif dan kreatif dalam bidang pendidikan, aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan.

“Yang mana ia akan melibatkan pembangunan produk-produk kreatif yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri kreatif di Sabah,” katanya.

Pelajar ASTiF telah memenangi pelbagai pertandingan filem pendek.

Sementara itu Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md. Dawam berkata, akademi itu menawarkan pelbagai kursus yang menjurus kepada teknologi kreatif melibatkan aspek aplikasi dan praktikal.

Katanya, ia termasuklah proses penciptaan produk seperti animasi, pembikinan filem pendek, rakaman digital dan teknologi audio visual, untuk disesuaikan dengan keperluan media terkini yang menyediakan medium penyiaran baharu kepada produk-produk kreatif berkenaan.

“Kami berharap untuk mengguna dan menggabungkan teknologi terkini dalam penciptaan dan pameran produk seperti teknologi projection mapping, Virtual Reality (AR) dan Augmented Reality(AR) dalam mempamerkan hasil produk seperti karya catan, seni persembahan pentas dan lain-lain pameran berkaitan,” ujarnya.

ASTiF menawarkan tiga program iaitu Program Seni Kreatif, Program Seni Muzik, dan Program Teknologi Seni Visual, selain bakal menawarkan program baharu berkaitan perfileman iaitu Program Sinematik Digital.

Persembahan Orkestra Universiti Malaysia Sabah yang diterajui oleh pensyarah dan pelajar ASTiF.

Menurut Zairul, pencapaian dan sumbangan ASTiF kepada industri kreatif di Sabah amat jelas apabila ramai graduan seni yang sebelum ini bernaung di bawah Sekolah Pengajian Seni dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan telah bekerja dalam pelbagai bidang industri kreatif.

“Antaranya dalam industri filem, penyiaran televisyen, guru di Sekolah Seni, bekerja di jabatan kebudayaan negeri serta menjadi usahawan dan karyawan seni sepenuh masa.

“Demikian juga pelajar dan graduan ASTiF yang telah mencatat kejayaan dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Pelajar program muzik kita telah memenangi hadiah utama  (Vocal Solo)  di Asian University Friendship Games 2021, pingat perak (Kategori Vokal) di World Championships of Performing Art (WCOPA) in California, USA; dan pingat emas (Kategori Vokal) di  Malaysia Championships of Performing Art (WCOPA) in Kuala Lumpur.

“Tidak lupa juga pelajar yang meraih Diploma Vokal Emas diMalaysia Choral Eisteddfod Virtual Choir & Virtual Vocal Festival, serta pemenang tempat pertama di pertandingan Pentas Alunan Patriotisme Semarak, Tugu Budaya Antarabangsa 2021 untuk kategori Anugerah Muzik Terbaik dan pemenang keseluruhan untuk kategori terbuka,” katanya.

Pelajar dan alumni ASTiF juga memenangi Yamaha Revstar Challenge dan menjadi duta kepada Yamaha Music Malaysia, serta memenangi dua pingat emas untuk pertandingan Male Choir, 7th Bali International Choir Festival sebagai konduktor koir.

Dalam bidang penerbitan filem, pelajar-pelajar ASTiF memenangi hadiah pertama lakon layar terbaik dalam pertandingan filem Lim Kok Wing Youth International Film Festival; Dokumentari Terbaik pada Flicks Fiesta SEA di KDU Penang University College; skrip terbaik, pelakon terbaik, grafik terbaik dan kesan khas terbaik di Festival Filem Pelajar anjuran FINAS, serta pelbagai lagi pertandingan lain.

Seiring dengan perkembangan terbaru industri penerbitan buku dan komunikasi digital, Zairul memaklumkan bahawa ada pelajarnya yang telah menjadi penulis, menerbit dan menjual hasil karya mereka serta menjadi penyedia kandungan kreatif melalui aplikasi media sosial.

“Manakala dalam bidang seni halus, ramai pelajar kita yang aktif dan memenangi pertandingan dan terlibat dalam pameran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Justeru, saya yakin bahawa penubuhan ASTiF mempunyai kelebihan daya saing tersendiri apatah lagi ia berada dalam lingkungan kepelbagaian masyarakat di Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik.

“Ini memberikan pelbagai peluang penyelidikan kepada para pelajar untuk mengkaji budaya etnik peribumi di Borneo dan seterusnya melestarikan budaya tersebut melalui pelbagai bidang industri kreatif seperti seni catan, seramik, seni persembahan teater, muzik, tari dan bidang penulisan kreatif dan produksi filem,” kata Zairul.

Ditubuhkan selepas penstrukturan semula FKSW pada 7 Mei 2021

ASTiF bertekad mengangkat keunikan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah sekali gus merealisasikan matlamat membangunkan industri kreatif sebagai salah sebuah sumber ekonomi terpenting di Malaysia khususnya di bumi Negeri DiBawah Bayu.

Related Articles

Stay Connected

156,622FansLike
2,008FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles