Penjawat awam disyaki meminta, menerima rasuah RM15,000 ditahan SPRM

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 dari sebuah syarikat pembalakan.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki  berumur sekitar 40-an telah ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah kira-kira  jam 10.00 pagi pada hari ini semasa hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal  mendapati  suspek melakukan kesalahan tersebut pada bulan September 2019 kerana meminta wang rasuah kira-kira  RM30,000.00 dan telah menerima wang rasuah kira-kira RM15,000.00 daripada syarikat pembalakan  sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Y.Bhg Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM 10,000.00 serta  seorang penjamin dan di jangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat.

Beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam di Sabah agar tidak terlibat dengan gejala rasuah kerana ianya akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti.