LAHAD DATU: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM10,000 kepada seorang pemandu lori selepas memandu dibawah pengaruh alkohol, di sini semalam.
Majistret, Ryan Ryner Jr membuat keputusan itu selepas Ebinus Kissim,29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan kes dibacakan jurubahasa Mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Ebinus didapati memandu dibawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Teratai dekat sini, kira-kira jam 9.10 malam pada 26 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020).
Mengikut fakta kes, Ebinus yang memandu lori pada ketika itu hilang kawalan lalu merempuh belakang kenderaan motokar yang parkir di bahu jalan.
Hasil laporan kimia mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 186 miligram per 100 mililiter darah melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram per 100 militer.
Ryan Ryner ketika menjatuhkan hukuman itu menegaskan perbuatan memandu dibawah pengaruh alkohol adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengakibatkan kemalangan maut.
Majistret turut memerintahkan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh akan dipenjara selama selama enam bulan.