PUTRAJAYA: Pengusaha kedai gunting dan dandanan rambut di bawah Gabungan Pendandan Rambut Malaysia telah mendesak kerajaan untuk membenarkan mereka beroperasi secepat mungkin selepas perniagaan mereka terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) dan Persatuan Pendandan Rambut Bersatu Asia (UAHA) Michael Poh berkata banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti salun rambut dan kedai gunting benar-benar tidak dapat menghadapi situasi sukar ketika ini dan mungkin tidak dapat dikekalkan lagi.
“Kami gembira kerana sektor dandanan rambut dan kedai gunting tersenarai dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi kami tidak tahu bilakah fasa ini akan dibenarkan,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai kelangsungan hidup bagi industri dandanan rambut hari ini.
Menegaskan tiada kluster yang disumbangkan daripada sektor dandanan rambut, beliau berkata mereka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, malah menambah lebih banyak langkah berjaga-jaga dilakukan untuk meminimumkan risiko penularan antaranya mensanitasi pelanggan dari bahagian atas ke kaki sebelum mereka memasuki salun.
— BERNAMA