KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan keputusan kabinet dalam beberapa perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 atau (MA63) sekali gus menjadi aspirasi seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, selepas ini perlu lagi disusuli dengan perlaksanaan semua isi kandungan MA63 terutama baki empat isu ketika (Pakatan Harapan) PH Plus yang sudah dipersetujui secara dasar di peringkat kabinet.
Katanya, empat itu merangkumi
iaitu pertama Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu (JKRS) dalam Membincangkan cadangan Pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) mengenai tafsiran “Persekutuan”, dalam Perlembagaan Persekutuan. Turut dibincag dalam JKRS ialah isu berkaitan Borneo High Court.
“Kedua iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak (JKSS)
Membincangkan perkara berkaitan keselamatan negeri seperti isu sempadan negeri Sarawak, isu imigresen seperti IMM13, Burung- Burung, Kad Banci dan PATI di negeri Sabah.
“Ketiga iaitu Jawatankuasa Kerja Sosio Ekonomi (JKSE)
Keperluan infrastruktur asas di negeri Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, air/elektrik, kesihatan, pendidikan, digital, kemiskinan dan perumahan rakyat termiskin,” katanya di sini hari ini.
Mohd Azis berkata, keempat iaitu Jawatankuasa Perundingan Bersama Mengenai Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan [Joint Consultative Committee (JCC)] Iaitu berkenaan semakan semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan Jadual 10.
“Penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi projek bernilai RM50 juta sangat disambut baik menandakan kerajaan pusat serius dalam merealisasikan perjanjian antarabangsa ini.
“Namun isu berkaitan 40 peratus kutipan cukai yang wajib diserahkan kepada Sabah juga berharap agar ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya kepada kita di Sabah,” katanya.
Mohd Azis berkata, meskipun
tidak diumumkan hari ini namun komitment Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menaikkan peruntukan khusus untuk Sabah dan Sarawak dalam belanjawan akan datang yang setimpal wajar diberi pujian.