Penggorekan pasir di Pantai Pohon Batu Labuan membimbangkan penduduk kampung

LABUAN: Penduduk Kampung terjejas dengan aktiviti penggorekan pasir khususnya di kampung Pohon Batu bimbang kerana aktiviti itu akan menimbulkan hakisan pantai dan pokok tumbang serta implikasi negatif kepada ekosistem dan alam sekitar.

Bagaimanapun, penduduk kampung tidak menghalang kegiatan penggorekan pasir mendalamkan muara sungai bagi mengelakkan banjir berlaku semasa musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku penghujung tahun ini.

Mohd Rafi bersama penduduk kampung ketika meninjau hakisan pantai dan kegiatan pengorekan pasir muara sungai Kampung Pohon Batu.

Namun apa yang membimbangkan kegiatan penggorekan pasir yang berlaku di muara sungai itu tidak memberi kesan jangka panjang, malah pasir yang dikorek itu juga telah dibawa keluar  tanpa sebarang kawalan oleh kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja penggorekan pasir  di pantai berkenaan.

Berikutan kegiatan yang tidak dirancang dengan baik, penduduk kampung Pohon Batu telah menyuarakan masalah ini kepada Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan agar kegiatan kerja-kerja penggorekan pasir ini dapat dihentikan segera.

Sementara itu, Mohd Rafi turun padang selepas mendengar keluhan penduduk kampung untuk meninjau sendiri mengenai kegiatan penggorekan pasir yang berlaku di Kampung Pohon Batu, semalam.

Mohd Rafi yang turut diiringi oleh beberapa pemimpin masyarakat Kampung Pohon Batu turut kesal dengan kegiatan penggorekan pasir  yang tidak terancang sehingga yang boleh menyebabkan hakisan pantai berlaku serta boleh mendatangkan  ancaman kepada eko sistem dan keindahan pantai Pohon Batu yang menjadi tarikan pelancong untuk beriadah.

Ketika ditemui media, Mohd Rafi menyatakan rasa kesal bagaimana pasir yang dikorek itu boleh dibawa keluar oleh kontraktor yang dilantik di kawasan lain.

“Apa yang diharapkan oleh penduduk kampung ialah pasir yang dikorek itu sepatutnya digunakan semula untuk menambak kawasan kawasan pantai sepanjang Kampung Pohon Batu  yang terhakis dan bukannya di bawa keluar tanpa sebarang kawalan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah menghubungi Pejabat  Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) agar kegiatan penggorekan pasir berkenaan dihentikan sementara.

Beliau mahu perbincangan semula bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga pihak kontraktor yang terlibat bagi mengatasi kebimbangan penduduk kampung yang terkesan dengan kerja-kerja penggorekan pasir berkenaan.

Difahamkan, kerja-kerja pengorekan  pasir bagi mendalam muara sungai ini turut berlaku di Kampung Batu Manikar, Sungai Miri dan Kampung Negalang.