KOTA KINABALU: Kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam penanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan mengurangkan kebergantungan beras import, khususnya di Sabah.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata hanya dengan cara itu dapat menamatkan isu beras yang timbul di seluruh negara ketika ini.
Katanya, isu antarabangsa seperti pemanasan global dan perubahan iklim menyebabkan hasil tanaman di kebanyakan negara berkurang, sekali gus mengakibatkan negara pengeluar beras bertindak menghentikan eksport.
“Oleh itu kita menggesa kerajaan untuk melabur dalam penanaman padi tempatan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas situasi ketiadaan beras tempatan, khususnya di Sabah, selain rungutan pengguna yang terpaksa berdepan kenaikan harga beras putih import.
Katanya, kenaikan harga beras import yang menjadi sumber bekalan utama beras rakyat di Sabah dianggap membebankan terutama bagi pengguna berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya kenaikan harga beras import juga memberi kesan kepada harga barangan lain, terutama makanan berasaskan beras.
“Apa sahaja kenaikan harga barang tetap memberi kesan kepada kenaikan harga barangan lain. Nasi adalah makanan utama kita dan kenaikan harga antara RM1 hingga RM4 agak membebankan rakyat.
“Sudah tentu dengan kenaikan harga beras ini, kos sara hidup keluarga juga meningkat,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kekurangan beras yang boleh mencetuskan amaran palsu hingga menyebabkan orang ramai panik dan tergesa-gesa ke pasar raya membeli beras tambahan.
Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya menyebabkan pengguna berebut-rebut membeli beras untuk menyimpan stok di rumah.
“Ini akan menyebabkan permintaan beras semakin tinggi. Jadi kita meminta pihak berkuasa untuk memantau isu ini,” katanya.
Sementara itu, David berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif Jualan Rahmah Beras dengan peruntukan RM150 juta yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, pendekatan itu menunjukkan keazaman kerajaan meringankan bebanan kewangan rakyat ketika kenaikan harga beras menjadi isu global.