Pemilihan wakil Dewan Belia Sabah perlu dibuat secara telus, jangan ada campur tangan politik – Suhaimi

SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir dimaklumkan terdapat campur tangan politik atau tangan-tangan ghaib dalam pemilihan wakil Dewan Belia Sabah 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan diadakan pada awal Oktober depan.

Suhaimi menegaskan tidak perlu ada campur tangan politik dalam pemilihan wakil Dewan Belia Sabah kerana ini akan merosakkan atau mencemarkan fikiran golongan belia dengan unsur-unsur politik kotor.

“Jangan biarkan mereka terjebak dengan perkara yang tidak sihat sebaliknya bagi peluang golongan belia membawa misi belia mereka sendiri untuk perjuangan belia dalam wadah yang baik.

“Belia ini mempunyai misi sendiri, tidak perlu ada pengaruh politik atau percaturan politik untuk mereka menang dalam memilih wakil Dewan Belia Sabah, biarlah belia berdiri sendiri dan mereka menjadikan pentas Dewan Belia Sabah itu  sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang akan menentukan hala tuju belia itu sendiri,” tegasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Suhaimi berkata biar golongan belia itu sendiri membuat hala tuju mereka walaupun mereka ini telah menyertai parti-parti tertentu yang mana politik biar politik, NGO biar NGO.

Justeru itu, beliau mahu pertandingan bagi Dewan Belia Sabah itu dilaksanakan secara terbuka dan telus tanpa ada tangan-tangan ghaib menentukan kemenangan calon bertanding berpihak kepada parti politik.

“Ini tidak adil bagi calon yang bertanding. Sekiranya ada percaturan politik (campur tangan) dari parti tertentu, lebih baik tidak perlu mengadakan pengundian, baik main tunjuk sahaja atau lantikan individu tertentu yang dikhendaki mewakili 73 DUN,” ujarnya.

Suhaimi dimaklumkan tempoh pendaftaran calon dan juga pemilihan akan tamat pada 30 September ini, calon-calon yang bertanding hanya mempunyai tujuh hari berkempen dan pengundian secara online akan diadakan pada 1 Oktober hingga 7 Oktober depan.

“Dengan tempoh masa berkempen yang singkat ini tidak memberi ruang luas kepada setiap calon bertanding. Sewajarnya masa berkempen diberikan dalam tempoh 14 hari seperti calon pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN).

“Keputusan setiap pengiraan undi sepatutnya tidak dilaksanakan secara tertutup sebaliknya dibuat terbuka dan keputusan undi setiap calon dipamerkan seperti PRU atau PRN bagi memastikan ketelusan dalam memilih serta calon bertanding,” katanya.

Beliau menegaskan sekiranya ada agenda tertentu dalam pemilihan wakil Dewan Belia Sabah pada kali ini, sebaiknya ia dibatalkan.