Penggerudian air UMS siap sepenuhnya Mac depan – Mustapha

KOTA KINABALU : Penggerudian air tubewell di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka siap sepenuhnya Mac depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Menurutnya sebanyak enam penggerudian akan dilaksanakan bagi menampung keperluan graduan dan pihak UMS.

“Dari enam penggerudian, tiga darinya setakat ini berjaya menghasilkan sumber air dan proses seterusnya ialah penapisan dan kerja-kerja memasang paip bagi bertujuan menyalurkan air tersebut ke tangki-tangki yang disediakan di penginapan.

“Bagi memastikan proses berjalan mengikut jadual, kita akan meminta laporan setiap minggu bagi mengetahui tahap kerja yang dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama, kita turut menekankan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar dapat menyedia dan menyalurkan sebanyak tiga juta liter air sehari untuk kegunaan graduan UMS dan juga sekitarnya memandangkan sumber dari penggerudian bersifat sementara dan hanya membekalkan air bagi kegunaan pembersihan sahaja, bukan untuk minuman,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Minggu Transformasi Siswa Sesi II 2023/2024 di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu, semalam.

Beliau turut menyeru kepada semua pelajar agar mengambil berat kepentingan pendidikan bagi mendepani cabaran hidup pada masa akan datang.

“Semasa Covid-19, ramai anak muda kita telah terlibat dengan kerja penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grabfood yang dilihat menghasilkan pendapatan dan akhirnya dijadikan kerja sepenuh masa, akibatnya, mereka tidak meneruskan pelajaran.

“Kita harus ingat yang industri boleh bertukar ganti dan yang kekal adalah sijil-sijil yang diperolehi semasa belajar bagi mendapatkan kerja, mungkin ketika Covid melanda, kita tidak boleh sesuka hati keluar mendapatkan barang keperluan atau makanan dan kita upah mereka tetapi sekarang berbeza, kita boleh keluar untuk makan diluar atau berurusan sendiri dan dilihat menjejaskan pendapatan mereka.

“Sebab itu, kita tekankan supaya pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian sepenuh masa, jangan sampai ada yang tercicir akibat masalah kemiskinan, dan sekiranya ada, maklumkan dan kita akan bantu cari penyelesaian sebab kita tidak mahu ada keciciran akibat ketidakmampuan membayar yuran,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 350 pelajar baharu mendaftar di kolej tersebut dan akan mengikuti 14 bidang pengkhususan peringkat diploma.

Antaranya Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Pengurusan Resort, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Diploma Pemasaran dan Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan.

Turut hadir, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Dullah Muluk, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Kota Kinabalu Abdul Razak Mohd Daim dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Kota Kinabalu Ts Saril Yusop.