Penduduk Rampayan gesa projek tebatan banjir dipercepat

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Rampayan Manggatal,  menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Rampayan susulan kejadian banjir kilat yang terus berulang setiap kali hujan lebat.

Wakil penduduk, Aris Ramlie berkata masalah banjir di kampung itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu, namun usaha pengorekan parit dan sungai masih belum menunjukkan kesan yang ketara.

“Kami sudah banyak kali merayu supaya kerja-kerja pengorekan disegerakan, tetapi sehingga hari ini keadaan tidak banyak berubah. Setiap kali hujan lama, rumah penduduk tetap dinaiki air,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan janji berulang pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu berkenaan yang disifatkan sebagai gagal memberikan jaminan kepada penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan bahawa Projek Tebatan Banjir Rampayan kini sedang dalam pembinaan dan peruntukan bagi Fasa 2 turut diumumkan sebagai langkah penyelesaian jangka sederhana dan panjang.