TAWAU : Penduduk Kampung Titingan disaran supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan penjenayah terutamanya pengedar dadah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau menggesa agar penduduk menjaga nama baik kampung sekali gus tidak meletakkan ia sebagai zon panas dengan jenayah.
Katanya, Kampung Titingan merupakan kawasan perkampungan berhampiran bandar cukup lama serta selamat untuk orang ramai datang.
“Saya mahukan penduduk di sini bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam menjaga kampung ini daripada menjadi sarang penjenayah.
“Penduduk perlu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan serta melaporkan sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah supaya kampung ini sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Hari Malaysia Peringkat Kampung Titingan, di sini, semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau mahu Kampung Titingan bersih daripada sebarang kegiatan jenayah serta menjadi rakan strategik kepada pasukan keselamatan memandangkan terletak di pesisir pantai.
“Saya berharap supaya penduduk di sini tidak berpecah sekali gus sentiasa menyokong dan mendokong setiap agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan hari ini.
“Kita mahukan walaupun hidup dengan pelbagai kaum, bangsa dan agama, tetapi dapat meraikan setiap perbezaan serta menjalani kehidupan bersama-sama tanpa sebarang sengketa,” jelas Nizam.
Hadir sama, Ketua Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Aris Heru Utomo.
