KOTA KINABALU: Ibu bapa perlu mengambil perhatian serius terhadap tahap awal pembelajaran anak khususnya dalam aspek agama serta bidang akademik.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, perkara ini penting bagi memastikan ia menjadi sebagai benteng, panduan kehidupan cemerlang kepada anak mereka di masa depan.

Katanya, mendidik anak dalam aspek agama merupakan sebagai benteng agar tidak terlibat dalam aktiviti merosakkan masa depan mereka.
“Memberi pendedahan anak kepada program berasaskan keagamaan di peringkat awal adalah langkah bijak agar dapat memberi panduan dalam kehidupan selain mencungkil bakat dalam kalangan mereka.
“Memberi pendedahan kepada program Majlis Ihtifal Ilmu adalah satu aspek ibadah untuk mengingati Allah sambil memberi tunjuk ajar agar sentiasa berbuat kebaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Ihtifal Ilmi Peringkat Kuala Penyu, di sini hari ini.
Menyentuh mengenai program ini Awang Aslee berkata, majlis ini adalah satu usaha mendapatkan keredhaan Allah di samping menjayakan misi agenda pendidikan di negeri ini.
“Pengorbanan serta usaha mungkin tidak setanding Rasulullah SAW namun matlamat serta cabaran tetap sama.
“Tujuannya adalah mendidik serta memimpin anak mereka ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.