Pencapaian pelajar Sabah dalam Matematik, Matematik Tambahan meresahkan – Hajiji

TUARAN: Kerajaan negeri menyedari pencapaian subjek Matematik dan Matematik Tambahan dalam kalangan pelajar di Sabah berada pada tahap yang meresahkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan bersetuju supaya langkah mengatasi kelemahan pelajar dilaksanakan segera.

Turut membimbangkan, katanya, termasuk pencapaian beberapa mata pelajaran berteraskan sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi yang rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, atas kegusaran itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.

Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) segera membentuk sebuah Jawatankuasa Bersepadu bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi kerajaan berkaitan bagi menangani isu kelemahan dan kelompongan minat pelajar terhadap mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan di Sabah.

“Sekiranya perlu, adakan suatu Sidang Pleno bagi membincangkan isu ini dan bangunkanlah program, agenda dan kerangka khusus yang merangkumi pemberdayaan dan pengupayaan Matematik dan Sains untuk generasi anak-anak kita di Sabah.

“Kerajaan Negeri bersedia menyediakan dana khas bagi merungkai permasalahan dan kelemahan yang ketara ini.

“Kita mahu melihat untuk 10 ke 20 tahun akan datang, isu dan permasalahan Matematik bukan lagi menjadi batu penghalang besar kepada anak-anak Sabah untuk menceburi kerjaya profesional yang melibatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena penutupan Kem Matematik Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali.

Seramai 300 pelajar dari 10 sekolah menengah di daerah Tuaran menyertai Kem Matematik Perdana anjuran UMS itu.

Hajiji berkata, berdasarkan data daripada Laporan Perangkaan Pendidikan Malaysia pada 2020 hingga 2022, bilangan pelajar aliran sains peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah kekal sekitar 15 peratus.

Katanya, dapatan itu menjadi cabaran kepada hasrat Kerajaan Negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) agar kumpulan profesional dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan dapat diramaikan menjelang tahun 2030.

Justeru itu, beliau berharap agar seluruh agensi kerajaan yang terlibat mengambil tindakan menyelesaikan isu-isu itu dengan kadar segera.

“Impak kekurangan tenaga kerja dalam sektor profesional yang melibatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan akan menjejaskan keperluan pasaran tenaga kerja untuk negeri Sabah pada masa akan datang.

“Ini boleh menjejaskan usaha pembangunan sosio ekonomi dan teknologi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah mengambil langkah meningkatkan pemberian biasiswa pengajian kepada pelajar negeri ini dengan peruntukan RM100 juta setahun berbanding RM50 juta sebelum ini.

Katanya, ia bagi memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, ia penting kerana aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan negeri Sabah.

Katanya modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.