KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan yang didakwa terlibat dalam ‘kontroversi’ berkaitan perjanjian tanah di Kudat, Sabah menarik balik cadangan pelaburan syarikatnya di negeri itu.
Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu tidak menjelaskan secara khusus pelaburan tersebut, tetapi dipercayai ia berkaitan dengan isu penternakan kambing dan perlombongan pasir silika di Pulau Balambangan.
“Setelah mengambil kira isu dan polemik yang dibangkitkan pihak tertentu, dengan rasa kesal syarikat telah membuat pertimbangan sewajarnya dan memutuskan untuk menarik balik cadangan pelaburan pembangunan untuk sektor pertanian kawasan terbabit.
“Kontroversi yang telah berlaku yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan keyakinan rakan pelabur kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Thomas Hah bagaimanapun menegaskan semua permohonan yang dibuat adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri bagi memajukan agenda pertanian negeri Sabah untuk meningkatkan keselamatan makanan.
Menurutnya surat rasmi kepada kerajaan negeri bagi memaklumkan keputusan itu akan dikemukakan kemudian.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini didakwa menyalahgunakan kuasa dalam kelulusan enam permohonan tanah melibatkan 968.4 hektar.
Dia menafikan dakwaan itu, yang timbulkan di Facebook, dan mendakwa ia dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya.