KINABATANGAN: Dewan Pemuda PAS Sabah (DPPNS) menyambut baik gesaan Menteri Pengangkutan, agar syarikat penerbangan menurunkan harga tambang penerbangan domestik.
Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar, Dewan Pemuda PAS Sabah, Asrul Samat, berkata isu ini sudah sekian lama menjadi keluhan rakyat Sabah khususnya apabila tiba musim cuti panjang.
“Harga tambang penerbangan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan sangat wajar untuk diteliti semula agar dapat diturunkan serta diselaraskan dengan berpatutan,”
“Kita juga syorkan kepada syarikat penerbangan agar dapat pertimbangkan tawaran kadar yang lebih rendah untuk golongan tertentu, seperti mahasiswa dan yang berkeluarga,” katanya.
Menurutnya, dua golongan ini adalah antara yang sangat terkesan kerana terpaksa menanggung kos harga tambang penerbangan yang tinggi.
Di samping itu, dengan penurunan harga ini secara tidak lansung mampu merancakkan semula sektor ekonomi dan industri pelancongan di Sabah.
“Selepas beberapa kelonggaran yang telah diberikan untuk masuk ke Sabah, kita dapat lihat jumlah jualan tiket penerbangan ke Sabah untuk bulan Disember pada tahun ini mencatatkan peningkatan yang ketara,”
“Perkara ini selaras dengan kenyataan daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri Sabah, ini menunjukkan industri pelancongan Negeri Sabah mula kembali pulih,” ujarnya lagi.
Oleh yang demikian, Pemuda PAS Sabah mengharapkan supaya syarikat penerbangan dapat memberi perhatian serta tindakan sewajarnya dalam menangani isu ini agar dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pelanggan.
Sekali gus merancakkan semula sektor ekonomi dan industri pelancongan Negeri Sabah.