Pemimpin, ahli PBS perlu berkorban demi parti, rakyat Sabah – Dr. Joachim

RANAU: Semua pemimpin bersama ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) diminta agar tidak hanya taksub dan berbangga dengan nama parti yang tertua di negeri ini tetapi tidak berbuat apa-apa demi parti.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua pemimpin dan ahli perlu berkorban demi PBS kerana mereka berjuang bersama dan ia adalah untuk rakyat Sabah.

Katanya, mereka perlu terus bersama-sama bekerja keras sambil mengekalkan kerjasama dalam kalangan parti serta rakyat Sabah.

“Kita utamakan kepentingan PBS dan rakyat Sabah, bukan kepentingan diri sendiri.

“Marilah kita perkuatkan lagi akar umbi kita, bukan kerana kita parti tertua di Sabah tetapi kerana kita parti berprinsip, berdisiplin dan bersatu,” katanya di sini hari ini.

Dr. Joachim merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau membawa semua pemimpin dan ahli mengimbau kembali perjalanan parti yang menurutnya telah melalui pelbagai fasa dan merekodkan kejayaan yang membanggakan dalam memperjuangkan beberapa agenda penting.

Antaranya, katanya, kejayaan PBS mempertahankan nama Pesta Kaamatan daripada dijadikan Pesta Rakyat; menjadi parti pertama mengusulkan undang-undang anti-lompat parti secara konsisten.

“Selain itu kejayaan besar adalah menamatkan pengiliran Ketua Menteri dengan menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 2002 demi kestabilan politik Sabah.

“Sambil menyuarakan secara konsisten isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah; dan perjuangan sebagai sebuah parti berbilang kaum yang menjadi ikutan oleh parti-parti tempatan yang lain,” katanya.

Beliau turut meminta semua bahagian dan cawangan agar terus memperkukuhkan keahlian dan kesetiaan ahli PBS serta merancakkan promosi untuk menarik lebih ramai belia dan beliawanis menyertai parti.

“PBS ketika ini dalam usaha meremajakan parti dengan mengetengahkan barisan pelapis pemimpin muda. Sememangnya PBS mempunyai ramai pemimpin muda serta profesional yang berkelayakan dan berkualiti.

Mereka inilah yang akan dapat mempromosi dan menarik lebih ramai belia-beliawanis dan profesional ke dalam parti…kita amat mengalu-alukan kemasukan beliawanis dan profesional ke dalam parti kita,” katanya.