KOTA KINABALU: Pembinaan patung Mazu di daerah ini mampu membawa manfaat besar bukan saja kepada industri pelancongan tetapi juga ekonomi Negeri Sabah secara umnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong Chen Bin yang menyokong penuh usaha meneruskan projek pembinaan Patung Mazu di daerah Kudat.
Ben Chong berkata, beliau berharap dengan pembinaan patung setinggi 33 meter itu, ekonomi negeri yang merundum selepas pandemik Covid-19 dapat dipulihkan sepenuhnya.
Katanya, ia adalah nilai tambah kepada tarikan pelancong luar negara untuk datang ke negeri ini dan daerah Kudat khususnya.
“Saya amat menyokong usaha ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan industri pelancongan dan merancakkan ekonomi di negeri ini.
“Sudah pasti, ia juga membawa manfaat kepada daerah Kudat dan rakyat secara tidak langsung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Ben Chong berkata, beliau berterima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam atas sokongan yang diberikan.
“Dr Joachim amat memahami keperluan tindakan bagi merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan di negeri ini.
“Saya ucapkan juga terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang menyuarakan inisiatif untuk pembinaan semula patung Mazu selepas terbengkalai lebih 16 tahun lalu,” katanya.