LABUAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang menelan belanja lebih RM6 bilion bukan menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini.
“Pembinaan jambatan Labuan itu adalah cadangan lama, kita lihat kos dia yang dalam kajian terbaru melebihi RM 6 bilion tentu kita boleh rancang tentang keupayan, tetapi volume peralihan jumlah penduduk tidak memungkinkan pembinaan jambatan itu ekonomik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, di sini, semalam.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan lebih mengutamakan dan memberi fokas kepada penyelesaian masalah kemudahan asas untuk rakyat daripada mengutamakan projek pembangunan infrastruktur yang masih boleh ditangguhkan.
“Dalam rancangan pembangunan Labuan kita telah mengambil langkah langkah untuk mempercepatkan isu – isu rakyat iaitu bekalan air dan elektrik yang masih membelenggu rakyat Labuan.
“Saya tidak boleh menerima kenyataan, memacu pembangunan ekonomi pesat dan menarik pelaburan beratus billion ringgit tetapi masalah asas masih belum selesai,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM300 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang masih berlarutan di Labuan dalam Belanjawan 2024.
Selain itu, katanya, Kerajaan juga telah berusaha untuk memacu pembangunan ekonomi Labuan melibatkan peranan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan.
Jelasnya, bermula Januari tahun depan, Bank Negara, Bursa Saham Malaysia dan Suuruhanjaya Sekuriti akan mengadakan persidangan bagi mencari jalan bagaimana kerajaan mampu mengangkat semula peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan yang lebih dinamik.
“Bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah, Kerajaan telahpun mencadangkan untuk mengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun,” katanya.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Peerdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman.