LABUAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini petang semalam untuk lawatan singkat ke Labuan selepas mengadakan lawatan kerja di Sabah.
Perdana Menteri yang menaiki pesawat khas tiba di Lapangan Terbang Labuan pada 3.55 petang.
Ketibaan Anwar yang turut diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Anifah Aman.
Lawatan singkat itu adalah kunjungan kali pertama Anwar ke Labuan selepas memeggang tampuk pemerintahan negara.
Perdana Menteri kemudiannya menghadiri Majlis Libat Urus Program Perasmian Pembasmian Miskin Tegar yang diadakan di aras 2, Bangunan Ujana Kewangan.
Sebaik selesai perasmian Program Pembasmian Miskin Tegar, Perdana Menteri terus menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Labuan yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewanagan.
Sejurus selesai berucap pada Majlis Ramah Mesra Anwar terus menghadiri satu lagi program lain iaitu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Sebelum berlepas pulang ke ibu negara, Perdana Menteri diraikan dalam satu majlis makan malam bersama pemimpin tempatan yang diadakan di salah sebuah hotel di sini.
Beliau berlepas balik ke ibu negara sekitar jam 8.45 malam.