Pembinaan Jalan Sinaron, Sook, Rancangan Belia Tiulon tingkatkan ekonomi penduduk – Hajiji

SOOK : Dua Projek Pembinaan jalan raya dilaksanakan di daerah Sook mampu menjimatkan masa perjalanan sekali gus mampu menjana pertumbuhan ekonomi penduduk tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara jalan tersebut termasuk projek pembinaan jalan raya berturap membabitkan Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40km serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85km.

Katanya, kedua-dua projek tersebut masing-masing bernilai RM320 juta serta RM127 juta kini sedang dalam pelaksanaan.

“Kita yakin dengan adanya jalan berturap ini, ia akan menjimatkan masa serta kos perjalanan selain mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Kerajaan juga membina empat buah sekolah kini dalam pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit serta SMK Trusmadi yang hampir siap sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, dalam masa sama projek menaiktaraf klinik kesihatan serta projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity sudah siap pada tahun lalu.

“Ini membabitkan Klinik Kesihatan Sook bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok masing-masing bernilai RM600,000,” jelas Hajiji.

Menurutnya, seramai 120 penduduk menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari tahun 2022 sehingga tahun 2024 bernilai hampir RM9.6 juta di Sook.

“Pada tahun 2025 ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 80 rumah SMJ bagi Sook.

“Banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sook pada masa akan datang memberi manfaat kepada rakyat termasuk pembinaan kompleks sukan, hospital daerah Sook, membina balai polis daerah dan menambah keluasan kawasan klinik kesihatan Sook,” katanya.

Beliau menjelaskan setiap pembangunan disalurkan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat sekali gus ke arah pembangunan lebih maju, tersusun serta saksama.

Di majlis tersebut, Hajiji meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta membina Dewan Terbuka Daerah Sook serta menaiktaraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.