Orang ramai rujuk Tabung Haji mengelak tertipu pakej Haji Palsu – Mohd Arifin

KOTA KINABALU : Orang ramai digalakan membuat rujukan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelak menjadi mangsa kes penipuan pakej ‘Haji Palsu’.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, TH mempunyai kepakaran luas dalam menguruskan jemaah haji sekali gus sentiasa bersedia membantu orang ramai mendapatkan maklumat sahih.

Katanya, masyarakat tidak akan mudah tertipu dengan pakej haji palsu sekiranya membuat semakan awal sekali gus merujuk kepada agensi seperti Tabung Haji.

“TH sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat serta bimbingan untuk membantu orang ramai memilih pakej haji daripada agensi-agensi yang berwibawa.

“Jangan mudah terperdaya dengan harga yang murah dengan agensi yang menawarkan pakej tersebut,” katanya di sini semalam.

Mohd Arifin merupakan Exco Pendidikan dan Agama Negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen TH dalam membantu jemaah membuat persiapan awal menunaikan ibadah haji.

“Terima kasih kepada TH atas penganjuran kursus ini yang turut diadakan di daerah-daerah bagi membimbing bakal jemaah haji dengan ilmu secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci,” tegas Mohd Arifin.

Sementara itu dalam perkembangan sama, seramai 1,000 bakal jemaah haji dari Sabah akan menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Kita berharap agar kuota ini akan terus bertambah pada masa depan bagi memberi ruang kepada jemaah lain menunaikan fardu haji ini,” katanya.

Kursus selama dua hari itu yang berlangsung dari 26 hingga 27 April disertai lebih 400 bakal jemaah haji dari zon Pantai Barat Sabah.