SANDAKAN : Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Batu 18, dekat sini, pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Same Hebo, 50-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaannya.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 lebih kurang pukul 9.21 pagi.
Sejurus itu, sepasukan anggota diketuai oleh Komander Operasi, Rosemedian Majid bersama kenderaan utiliti bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.
Berdasarkan maklumat, kemalangan itu melibatkan sebuah lori tangki minyak yang bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.
Dalam kejadian itu, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dengan menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, pemandu lori tangki minyak yang dikenali sebagai Baharudin Timbang, 40, dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.