KKDW peruntuk lebih RM3 juta bagi projek infrastruktur di Labuan

LABUAN : Kerajaan Madani melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wawasan (KKDW) telahpun memperuntukan lebih RM3 juta bagi melaksanakan kemudahan infrastruktur di Labuan sepanjang tahun 2023.

Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii berkata, antara projek yang telah pun diluluskan ialah pembinaan lima rumah baharu PPRT dan 25 rumah untuk baik pulih, pembinaan jalan perhubungan desa (jalan simen) selain peruntukan untuk amaniti sosial.

“KKDW setiap tahun telahpun memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk projek jalan perhubungan desa (jalan simen) … tetapi tahun ini kita ada tambahan lagi RM1 juta hasil limpahan bajet kerajaan pusat di bawah KKDW menjadikan jumlah semua RM2 juta, manakala amaniti sosial sebanyak RM750,000 hingga RM1 juta dan ini tidak termasuk peruntukan projek pembinaan rumah rakyat Termiskin (PPRT) dan baik pulih rumah…. kita anggarkan secara keseluruhannya peruntukan yang diagihkan kepada Labuan lebih RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau projek pembinaan dua buah rumah baharu PPRT di Kampung Sungai Bedaun, dan Kampung Sungai Miri, semalam.

Mohd Razlan berkata, Labuan memerlukan lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan projek kemudahan rakyat terutamanya yang melibatkan pembinaan rumah PPRT.

Jelasnya, bantuan sedemikian akan dapat mengurangkan kadar miskin tegar di pulau ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya akan berusaha mengangkat perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW agar peruntukan lebih besar dapat diturunkan ke Labuan pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razlan berkata, dua buah rumah baharu (PPRT) yang sedang dalam pembinaan itu diluluskan dengan peruntukan RM79,000 sebuah manakala untuk kerja kerja membaik pulih rumah, KKDW luluskan RM17,000 untuk sebuah rumah.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Mohd Sany Hamzan dan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.