LAHAD DATU: Seorang pemandu lori membawa muatan batu maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 15 jalan Lahad Datu-Tawau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa lelaki berumur 61 tahun memandu lori bergerak dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.
“Lori terbabit terbalik manakala mangsa dipercayai tersepit di bahagian tempat pemandu yang menyebabkan orang awam gagal mengeluarkannya.
“Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang tiba dilokasi kejadian berjaya mengeluarkan pemandu lori tersebut, kemudian menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Rohan Shah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.50 petang selepas mengalami cedera parah.
“Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk menunggu keputusan ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan,” katanya.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemanduan mangsa ketika menuruni bukit sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.
“Polis masih meneruskan siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta sesiapa yang melihat kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan,” katanya.
Rohan berkata, pengguna jalan raya perlu sentiasa mengamalkan sikap sabar sekali gus berhati-hati ketika memandu serta mementingkan keselamatan pengguna yang lain.