Rayu batalkan roboh setinggan Kampung Bakau dan Kampung Jalan Saga Likas – Azhar

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran agar memberikan tempoh tertentu kepada pemilik 39 buah rumah setinggan di Kampung Bakau dan Kampung Jalan Saga Likas yang akan dirobohkan berkuatkuasa esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Matussin berkata, kesemua pemilik rumah tersebut menerima notis perobohan menyebabkan mereka hilang arah untuk berpindah dalam tempoh terdekat.

Katanya, 39 penduduk adalah tempatan serta mempunyai dokumen lengkap sekali gus sudah tinggal di kawasan tersebut lebih 37 tahun.

“Sepatutnya DBKK memberikan  pertimbangan memandangkan kesemua mereka tidak mempunyai tempat kediaman apabila dirobohkan pada esok hari.

“Mereka sudah menerima notis pengosongan rumah, manakala rumah akan dirobohkan esok.

“Jika dirobohkan sudah tentu mereka tidak mempunyai tempat perlindungan. Mohon DBKK bertolak ansur. Dalam keadaan COVID-19 perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan 39 pemilik rumah setinggan di sini hari ini.

Azhar berkata, jika esok dirobohkan sudah tentu mereka akan hilang arah bagi mendapatkan perlindungan sementara sekali gus sudah tentu akan menambah beban kepada seramai 70 ahli keluarga mereka.

“Sepatutnya dalam keadaan pandemik perkara begini tidak berlaku…rata-rata mereka masih hilang mata pencarian bagi meneruskan kehidupan untuk menyara keluarga mereka.

Azhar berkata, adalah lebih baik pihak kerajaan memikirkan cara untuk membantu penduduk yang susah untuk memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing dengan menyediakan rumah mampu milik.

“Kita cadangkan agar DBKK menangguhkan  dahulu operasi perobohan rumah mereka ini serta beri tempoh masa yang sesuai agar mereka dapat mencari tempat perlindungan baharu,” katanya.

Azhar menambah, pada ketika Parti Warisan Sabah (WARISAN) operasi juga dijalankan namun kesemua mereka diberikan tempat perlindungan sebelum operasi perobohan rumah dijalankan.