Pelancong asing ke Sabah tidak perlu jalani ujian COVID-19 prakemasukan – Joachim

KOTA KINABALU: Semua pelancong asing yang masuk ke Sabah tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19 prakemasukan dan mengemukakan sijil vaksinasi bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Jemaah Menteri Sabah hari ini membuat keputusan itu bagi menyeragamkan sepenuhnya prosedur kemasukan pelancong asing ke negeri itu dengan prosedur di peringkat Persekutuan.

“Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa prosedur kemasukan semua pelancong asing ke Sabah adalah diseragamkan sepenuhnya dengan dasar ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Dengan itu semua pelancong asing tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 prakemasukan dan tidak perlu mengemukakan sijil vaksinasi semasa masuk ke Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan berkuat kuasa  8 Jan, semua pengembara dari China yang masuk ke negeri itu perlu mengemukakan ujian COVID-19 yang negatif dan perlu lengkap vaksinasi.