Pelajar UMS ke Australia, pupuk sifat kepimpinan dan kualiti diri

KOTA KINABALU: Seramai 14 pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program Hubungan Sosial dan Peningkatan Ilmu Antarabangsa (IRP) ke Melbourne, Australia anjuran Kelab Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga (CFC) UMS, bermula 28 Mei 2023 hingga 2 Jun, baru-baru ini.

Objektif utama program tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya dan cara hidup masyarakat di luar negara disamping memperolehi pendedahan dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga dengan membuat lawatan ke pusat pusat dan universiti terpilih.

Menurut Ketua Program Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga UMS, Dr. Nur Farhana Ardillah Aftar, sepanjang penubuhan CFC pada tahun 2009, ia menumpukan kepada program sosial, akademik, kepimpinan, dan latihan kendiri, operasi khidmat masyarakat, motivasi, akademik, dan kerjaya ahlinya.

“Setiap tahun CFC akan mengembara ke luar negara untuk meneroka dan meraih ilmu yang baharu di samping menimba pengalaman berharga sebagai proses pembelajaran sepanjang hayat yang tidak boleh diperoleh melalui pembelajaran di dalam dewan kuliah.

“Tahun ini CFC memilih Australia untuk dilawati kerana kemajuan dan ketamadunan negara tersebut. Antara tempat yang dilawati ialah Universiti of Melbourne, Victorian Deaf Society, La Trobe University Community Centre, La trobe University, Victorian College for the Deaf dan Autism Partnership Melbourne,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPP UMS, Profesor Dr. Murnizam Hj. Halik berkata pihaknya percaya bahawa penganjuran program seumpama itu dapat memberi pemahaman dan pengalaman yang mendalam kepada pelajar tentang cabaran dalam penganjuran sesuatu program.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk mengemudi medan yang kompleks dan mencabar di kemudian hari.

“Program seumpama ini bukan sahaja telah meluaskan pengetahuan pelajar tentang dunia luar, namun dapat memupuk dan menjana kualiti serta nilai dalam diri pelajaryang lebih beridealisme, proaktif, dan kreatif menerusi penerokaan dan pemerhatian di tempat yang telah dilawati.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program ini. Daripada penganjuran jawatankuasa, penaja dan setiap seorang daripada anda telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini” katanya.

Terdahulu, Pengarah Program IRP, Deepashne Chandran berkata Pelajar mestilah terus menghayati semangat inovasi dan kebolehsuaian semasa mengikut navigasi landskap yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

“Pengalaman daripada program ini telah melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan dengan penuh yakin.

Diharapkan program beraras tinggi seperti ini dapat menjadi agenda tahunan hingga akhirnya, menjadi bualan ramai atas dasar keberhasilan pelajar, selari dengan ‘Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu pendidikan berkualiti yang berjaya mencapai jalinan antarabangsa,” ujarnya.