KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mempelawa pelabur dari Kanada untuk meneroka peluang baharu dan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta di Sabah dalam beberapa sektor ekonomi berkaitan.
Pelawaan itu disuarakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Wayne Robson di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Dalam kunjungan itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan berkaitan pelancongan, pendidikan, peluang pelaburan dan lawatan Kapal Tentera Laut Diraja Kanada (Royal Canadian Navy’s) HMCS Ottawa ke Kota Kinabalu.
“Dengan kedudukan Sabah yang kaya dengan pelbagai sumber asli, kita berharap lebih ramai pelabur asing datang melabur di negeri ini dalam pelbagai sektor industri,” kata Hajiji.