PENAMPANG: Mayat seorang budak lelaki dipercayai lemas di Sungai Penampang ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, budak lelaki tersebut Ashley Preston Harthley terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakan-rakannya di Kampung Inobong, di sini, petang kelmarin.
Katanya, pihak penyelamat mengesahkan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tepi sungai bersama empat orang rakan yang lain.
“Kami mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya menjalankan operasi SAR di kawasan mangsa dilaporkan jatuh dan di sepanjang pinggir sungai.
“Operasi SAR kelmarin ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam dan disambung pada pagi hari ini,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR hari ini dijalankan pada jam 6 pagi di sepanjang sungai menggunakan bot dan teknik menyusuri tebing sungai berjalan kaki oleh anggota penyelamat (Surface Searching).
Katanya pasukan bomba berjaya menemukan mangsa di lokasi 1.3 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahnya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 7.51 pagi tadi,” kata Zeno.