Pegawai AADK mengaku tidak bersalah enam pertuduhan guna dokumen palsu

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran beberapa program komuniti di Kunak dan Tawau antara 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Bakri Bibi, 53, yang bertugas sebagai Pegawai Antidadah Gred S48, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu berkaitan tuntutan bayaran bagi perkhidmatan makan minum serta pembekalan bahan binaan untuk beberapa program komuniti termasuk Program Khidmat Masyarakat, kesedaran bahaya dadah dan aktiviti komuniti di Kunak dan Tawau.

Nilai tuntutan bagi setiap program didakwa antara RM2,500 hingga RM4,500.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta deposit RM4,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap dua bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 27 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.