KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan komitmen untuk terus bersama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional.
Pendirian itu diputuskan menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan semalam.
Kedua-dua parti menegaskan GRS mesti kekal sebagai gabungan dipimpin parti tempatan Sabah tanpa dipengaruhi pengaturan politik luar.
“Kepercayaan rakyat Sabah terhadap GRS dibina atas prinsip berdikari. Untuk mengekalkan kepercayaan itu, sempadan politik mesti jelas,” kata kenyataan bersama.
PBS dan STAR turut menegaskan keputusan Majlis Tertinggi GRS untuk bertanding di 55 kerusi perlu dihormati, kerana sebarang pengurangan akan menjejaskan keyakinan akar umbi.
Sehubungan itu, kedua-dua parti mencadangkan semua calon komponen GRS menggunakan logo rasmi gabungan, sekali gus menampilkan kesatuan dalam menghadapi PRN.
