KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada lima wakil rakyat STAR yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun parti itu memutuskan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Langkah berani itu diumumkan Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai selepas mesyuarat Biro Politik parti yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut Joniston, PBS bukan sekadar menyokong, malah sanggup mengetuai jentera pilihan raya GRS di lima kawasan terlibat iaitu Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid.
Lima ADUN penyandang yang kekal bersama GRS ialah Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng – semuanya tokoh berpengaruh di kawasan masing-masing.
“PBS telah lama ada jentera akar umbi yang aktif di kawasan ini. Kerjasama yang sedia terjalin akan kita teruskan demi memastikan GRS terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.
PBS kini menggerakkan bahagian-bahagian di lima kawasan terbabit untuk mula berbincang dengan ADUN terbabit bagi menyusun strategi dan pembahagian tugas menjelang PRN.
Tambah Joniston, keputusan ini dibuat atas dasar tanggungjawab bersama untuk mengekalkan kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan rakyat tidak terhenti.
“Semangat perpaduan dalam GRS perlu dikekalkan. Ini bukan masa untuk perpecahan, sebaliknya kita harus terus bergerak sebagai satu pasukan demi Sabah,” tegasnya.
