PAS tubuh jawatankuasa giatkan kempen vaksinasi COVID-19

SANDAKAN : PAS Sandakan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi membantu kerajaan mempergiatkan lagi program vaksinasi COVID-19 yang melibatkan orang awam di daerah berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, pihaknya melihat usaha ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendaftarkan lebih ramai penduduk yang layak menyertai program ini.

Katanya, PAS sudah menubuhkan jawatankuasa yang sama di seluruh negeri bagi meningkatkan jumlah mereka mendapat suntikan vaksin.

“Setakat ini daerah ini sahaja tiga kawasan bergabung termasuk PAS Sandakan, PAS Batu Sapi serta PAS Libaran yang melibatkan tiga Parlimen bagi meningkatkan kempen ini.

“Kita yakin jumlah mereka yg menerima suntikkan ini nanti akan bertambah setiap masa memandangkan ketika ini penglibatan rakyat di negeri ini masih berada pada tahap sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan, di Wisma Persekutuan, Batu 7 di sini semalam.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Penerangan Pendidikan Kesihatan Sandakan, Joumil Ikim menyambut baik kerjasama tersebut.

Beliau mewakili Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar mengharapkan lebih ramai pihak tampil menghulurkan agar daerah ini dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.

“Saya mengambil kesempatan menyeru orang ramai untuk melibatkan diri dalam program ini memandangkan data menunjukkan hanya kira-kira 40,000 yang sudah menyertainya daripada populasi Sandakan yang mencecah 500,000 orang,” katanya.

Sehingga kini, jumlah pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Sandakan dipertingkatkan sehingga 800 penerima sehari melibatkan penambahan di PPV Dewan Libaran dalam usaha menggiatkan kempen berkenaan.

SabahNewsToday