Pandikar gesa Hajiji rombak pentadbiran kerajaan negeri secara besar besaran

KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor perlu merombak secara besar-besaran membabitkan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah sekali gus sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap mereka.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rombakan itu perlu meliputi bermula di peringkat Jabatan Setiausaha Kerja Negeri sehingga ke Pejabat-Pejabat Daerah di seluruh negeri.

Katanya, ini susulan pelantikan Tengku Ahmad Fuad Tengku Burhanuddin sebagai peguam mewakili Kerajaan Negeri Sabah mengendalikan kes Permohonan Semakan Kehakiman Sabah Law Society dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Penjelasan Hajiji Noor kepada Presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 17 Mei lalu  Tengku Datuk Fuad tidak ada menerima lantikan dari kerajaan negeri.

“Ini sangat memeranjatkan saya, apabila mendapat tahu dan terbaca surat pelantikan Tengku Datuk Fuad. Penjelasan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Aisah Mohd Yusof pihaknya akan membetulkan sebarang kenyataan yang tidak tepat berkait kesilapa besar dibuat Tengku Datuk Fuad sewaktu pembicaraan kes pada 16 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pandikar berkata, antara lain beliau menyerang Sabah Law Society sebagai badan tiada hak dan sebagai penyibuk merupakan penjelasan yang wajar dibuang di tong sampah sekali gus dilihat memalukan diri sendiri sebagai Peguam Besar Negeri Sabah.

“Tindakan Peguam Besar Negeri mengambil sikap tidak serius terhadap kes amat penting bagi rakyat negeri Sabah dimana ketika  hari pembicaraan beliau berada diluar negara.

“Tidak ada seorang pun pegawai dari Jabatan Peguam Negeri hadir menemani Tengku Datuk Fuad dimahkamah adalah tindakan saya sifatkan sebagai tindakan mengkhianati aspirasi rakyat negeri Sabah,” jelas Pandikar.

Menurutnya, rakyat Sabah mengharapkan kerajaan negeri melalui peguamnya pada hari pembicaraan, berkerjasama melawan peguam negara yang mewakili kerajaan persekutuan.

“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Atas sebab sedemikian, dipandang dari sudut mana pun, saya berpendirian bahawa kontroversi ini adalah diakibatkan kelalaian pihak berwajib yang bersangkutan dengan kes ini khususnya Peguam Besar Negeri.

 “Saya juga berpendirian Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Saffar Untung wajar dipertanggungjawabkan selari dengan perwatakan selama ini tonjolkan beliau adalah seorang SKN ‘hands-on’ sekali gus semua hal-hal pentadbiran kerajaan dimakluminya,” kata Pandikar.