Adakah kerajaan negeri Sabah menyokong tuntutan hasil 40 peratus kepada kerajaan persekutuan – Azhar

KOTA KINABALU : Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (WARISAN), Azhar Matussin ingin mendapat penjelasan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor adakah Kerajaan Negeri Sabah menyokong tuntutan hasil 40 peratus difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kepada Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.

Menurutnya, baru-baru ini rakyat Sabah telah dikejutkan dengan tindakan Kerajaan Negeri menolak kes SLS mengenai tuntutan hasil 40 peratus untuk Sabah kepada kerajaan persekutuan.

“Dalam perbicaraan mahkamah pada 16 Mei lalu, peguam mendakwa mewakili Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad telah mengemukakan beberapa perkara memihak kepada Kerajaan Persekutuan sekali gus menyatakan isu hasil 40 peratus bukanlah hak mutlak Sabah.

“Ia hanya sekadar aspirasi untuk menuntut hasil yang masih belum berbayar bagi tahun-tahun yang lepas. Namun pada hari berikutnya pada 17 Mei Hajiji Noor membuat kenyataan akhbar sekali gus menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melepaskan hak berhubung hasil 40 peratus untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Darau berkata, malah Hajiji menegaskan tidak ada kompromi mengenai tuntutan 40 peratus untuk Sabah.

“Kenyataan Hajiji Noor menunjukkan ia bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan Tengku Fuad dalam perbicaraan mahkamah baru-baru ini.

“Persoalannya, adakah pihak Kerajaan Negeri Sabah tidak mengetahui kehadiran Tengku Fuad di mahkamah tempoh hari atau Kerajaan Negeri Sabah berubah pendirian setelah menyedari tindakan Tengku Fuad tersebut menimbulkan perspektif negatif dan kemarahan rakyat Sabah,” jelas Azhar.

Menurutnya, sekiranya pihak Kerajaan Negeri Sabah sedar kehadiran Tengku Fuad, kenapa tiada tindakan diambil untuk menghalang beliau daripada bertindak sedemikian?

“Pada masa yang sama, mengapa pihak Peguam Negeri Sabah tidak kelihatan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada hari berkenaan sedangkan ia melibatkan isu yang berkaitan dengan kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

“Apakah tiada sebarang arahan daripada Hajiji Noor untuk Peguam Negeri hadir pada perbicaraan tersebut? Ketua Menteri seharusnya menjelaskan apakah status sebenar Tengku Fuad dalam Kerajaan Negeri agar persoalan dan kekeliruan setiap rakyat Sabah terjawab dengan jelasnya.

“Tambahan pula, pihak mahkamah meminta agar Tengku Fuad mengemukakan surat rasmi pelantikannya oleh Ketua Menteri dan beliau berjanji untuk berbuat demikian dalam perbicaraan baru-baru ini, tambah Azhar.

Namun, sekiranya beliau gagal menunjukkan sebarang bukti yang jelas Azhar berkata, memang tidak pernah dilantik Ketua Menteri, ini bermaksud bahawa sendiri ‘busybody’ seperti dikatakan oleh beliau kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dalam kenyataannya baru-baru ini.

“Selain itu, beliau juga tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk hadir dan bercakap bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah pada perbicaraan mahkamah yang akan datang pada 24 Mei 2024 nanti.

“Saya juga ingin menyarankan kepada Ketua Menteri supaya mengambil inisiatif untuk memaklumkan kepada pihak mahkamah semua kenyataan yang dibuat Tengku Fuad baru-baru ini adalah tidak benar dan ia adalah pandangan peribadi beliau sendiri dan bukannya mewakili keputusan Kerajaan Negeri.

“Dengan berbuat demikian, Ketua Menteri sekali gus dapat membuktikan bahawa kenyataan beliau dalam tuntutan hasil 40 peratus adalah benar dan tidak bercanggah seperti apa yang telah dinyatakan oleh Tengku Fuad,” kata Azhar.