KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Gegar yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, awal pagi Khamis.
Operasi yang dijalankan Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu itu melibatkan 40 pegawai dan pemeriksaan terhadap 278 individu terdiri daripada warganegara tempatan serta asing.
Menurut JIM Sabah, tangkapan membabitkan tiga lelaki dan lima wanita dewasa warganegara Filipina serta Indonesia.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
JIM Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen dan keselamatan negara.
