Dua lelaki ditahan beri maklumat palsu permohonan kad pengenalan

SEMPORNA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan kerana disyaki memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan.

JPN Sabah memaklumkan tangkapan pertama dibuat pada jam 10.30 pagi di JPN Daerah Semporna terhadap seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai penganjur dengan memberikan maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan pada 2 Ogos 2016.

Tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi di lokasi sama melibatkan seorang lagi lelaki yang disyaki melakukan kesalahan serupa bagi permohonan pada 3 April 2017.

Menurut JPN, kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

JPN Sabah akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras penipuan dan penyalahgunaan prosedur pendaftaran demi memastikan keselamatan serta integriti sistem pendaftaran negara.