Nelayan Hilang 4 Hari Ditemui Meninggal Dunia

PAPAR: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Pantai Manis, di sini, pada Isnin lalu ditemui meninggal dunia hari ini selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mangsa, Saimon Bin Ongit, 60, ditemui orang awam berhampiran Pantai Kampung Sangkabok, kira-kira 71 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan Bin Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi, 16 Februari lalu memaklumkan terdapat dua lelaki dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti memukat di Kampung Kuala, Papar.

Menurutnya, seorang daripada mangsa, Primus Bin Ujim, 52, berjaya diselamatkan orang awam dalam keadaan selamat, manakala rakannya masih belum ditemui ketika itu.

“Seramai 10 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) BBP Papar digerakkan ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer dan tiba pada jam 10.54 pagi.

“Operasi SAR dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan kaedah pencarian permukaan dengan bot sejauh tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi hari keempat yang bermula jam 8.20 pagi tadi memfokuskan pencarian di kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan hingga Muara Pengalat sejauh empat kilometer.

Katanya, pada jam 3.20 petang, keluarga mangsa memaklumkan pihaknya bahawa mangsa ditemui orang awam sebelum pengecaman dibuat oleh ahli keluarga di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.23 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.

Operasi SAR berkenaan berlangsung selama empat hari sejak Isnin lalu.