Najib tamatkan khidmat firma guaman Zaid Ibrahim

PUTRAJAYA: Peguam utama Datuk Najib Seri Razak, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa peguam cara, firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Sehubungan itu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat meneruskan prosiding rayuan akhir dengan mendengar sambungan hujahan pendakwaan.

Dalam laporan BH Online, pihak pendakwaan yang diketuai, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram akan menyambungkan penghujahan pagi ini yang memasuki hari kedua rayuan itu didengar.

Selain Tengku Maimun, panel hakim itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Semalam, mahkamah menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk  menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.