MUIS Hulur RM1,000 & Bantuan Makanan Mangsa Kebakaran Tawau

TAWAU: Sebanyak 10 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu Empat, di sini, menerima bantuan segera daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan disampaikan dalam satu majlis di Masjid Al Hidayah Nurul Jannah, dengan setiap keluarga menerima tunai RM1,000 serta bakul makanan.

Mohd Arifin bersama penduduk kampung Hidayat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi MUIS, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya turut akan menyalurkan bantuan pendidikan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

“Tabung ini diasaskan Ketua Menteri Sabah untuk membantu anak-anak membeli pakaian sekolah, buku dan peralatan lain. Semalam, lebih 20 pelajar mangsa kebakaran di Tawau juga sudah menerima bantuan sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan setinggan dan rumah atas air agar sentiasa berwaspada dengan risiko kebakaran.

“Saya harap JKKK dan ketua kampung terus menasihati penduduk supaya lebih berhati-hati, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Menurut beliau, MUIS bukan hanya berperanan dalam aspek dakwah, malah sentiasa menyalurkan bantuan kebajikan kepada asnaf serta mangsa bencana di seluruh negeri.

“Tahun ini sahaja, lebih RM20 juta diperuntukkan melalui bahagian zakat dan fitrah bagi bantuan pendidikan dan derma siswa. MUIS juga meneruskan program pembangunan ummah bersama JHEAINS,” jelasnya.