Muhammad Farhan bantu Sabah curi satu mata di Stadium Darul Aman

KUALA LUMPUR: Penyerang gantian, Muhammad Farhan Roslan muncul wira Sabah FC apabila jaringannya enam minit sebelum perlawanan tamat membantu pasukan di tangga kedua Liga Super itu mengikat Kedah Darul Aman FC, 1-1, di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Bagaimanapun, keputusan itu sedikit menjejaskan misi Sabah yang mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim, dengan 38 mata manakala Kedah naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam liga dengan 18 mata.

Perlawanan di Alor Setar menyaksikan Kedah tidak menunggu lama untuk menceriakan hampir 5,000 penyokong mereka apabila penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja menyambut hantaran Mahmoud Nayef dengan menanduk masuk gol pertama tuan rumah seawal minit kelima.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Kedah, ‘Sang Badak’ yang meningkatkan tempo permainan mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi penyerang import, Taiki Kagayama

Namun  rembatannya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-28 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar  hampir merobek gawang bekas pasukannya namun tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri gol pada minit ke-58, berpunca daripada sepakan percuma oleh pemain sayap, Saddil Ramdani.

Namun, percaturan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, membawa masuk Muhammad Farhan Roslan yang menggantikan Kagayama membuahkan hasil selepas berjaya menolak masuk hantaran lintang Saddil pada minit ke-84 sekali gus memastikan Sabah berpuas hati dengan satu mata.