MPS perlu ambil kira maklum balas daripada orang awam sebelum naikkan kadar cukai pintu

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sepatutnya mengambil kira maklum balas daripada orang awam berhubung pelaksanaan kadar cukai pintu baharu.

Sebagai pihak berkuasa tempatan yang memberi khidmat kepada penduduk Sandakan, MPS perlu memberi peluang kepada pembayar cukai untuk menyuarakan pendapat mengenai perkara ini.

Bagi Mohamad Marino, tindakan kira-kira 50 orang berkumpul di depan Wisma Perbandaran Sandakan baru-baru ini jelas menunjukkan mereka membantah dengan kenaikan kadar cukai pintu itu.

“MPS juga dilihat membelakangkan pemimpin masyarakat di daerah ini kerana ramai wakil rakyat yang tampil menyuarakan bantahan terhadap isu tersebut.

“Kalau perkara ini dibawa berbincang terlebih dahulu, tidak akan timbul isu tidak setuju dan serahan memorandum bantahan seperti yang berlaku beberapa hari lepas,” katanya di sini.

Bulan lepas, MPS telah mengeluarkan notis berhubung cadangan kenaikan pelaksanaan kadar cukai pintu baharu bermula Januari 2024.

Menurut Mohamad, keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini telah banyak menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan berpendatan rendah.

Katanya ia pasti memberi tekanan berganda sekiranya kadar cukai pintu dinaikkan bermula awal tahun depan.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja aduan rakyat boleh kita lihat sama ada di surat khabar tempatan ataupun laman sosial. Ini jelas menunjukkan MPS masih perlu banyak memperbaiki perkhidmata mereka.

“Saya rasa rakyat tidak akan merungut dengan kenaikan kadar cukai pintu sekiranya mereka berpuas hati dengan mutu perkhidmatan MPS,” jelas Mohamad.