KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, diberi taklimat mengenai perkembangan semasa situasi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dan maritim negeri ini daripada dua agensi berkaitan.
Taklimat pertama berhubung situasi di ESSZone disampaikan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) DCP Victor Sanjos.

Perkembangan mengenai situasi di ESSZone itu disampaikan Victor ketika kunjungan hormat sulungnya terhadap Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Victor yang dilantik sebagai Komander ESSCOM pada Jun lalu turut memberi taklimat mengenai pelbagai program komuniti yang dilaksanakan agensi itu bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat di ESSZone.
Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Sementara itu, taklimat mengenai perkembangan semasa situasi maritim di Sabah disampaikan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
Kunjungan hormat Maritim Malaysia Sabah dan Labuan di Menara Kinabalu itu turut disertai Timbalan Pengarah (Operasi) Kapt Maritim Mahmad Faizal Ahmad dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Siti Norhaini Osli.