MPS patut beri tumpuan kutip tunggakan cukai pintu lebih RM40 juta

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sepatutnya memberi tumpuan untuk mengutip tunggakan cukai pintu yang dianggarkan bernilai RM40 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun berkata, nilai tunggakan itu amat besar dan boleh digunakan untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan MPS kepada rakyat.

“Saya berharap MPS dapat mempertimbang perkara ini semula. Selesaikan dulu isu perkhidmatan mereka seperti kebersihan longkang, rumput panjang dan lampu jalan baharu naikkan kadar cukai pintu.

“Tahun depan bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar cukai pintu. Perkara ini hanya akan menambah beban rakyat yang baharu mulai mahu bernafas semula selepas penularan pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kenaikan kadar cukai pintu kepada MPS di sini, hari ini.

Sementara itu, ADUN Gum-Gum, Arunarnsin Taib turut menyokong sekiranya MPS menyelesaikan dahulu isu tunggakan cukai pintu yang sudah berlarutan sekian lama.

Menurut beliau, tiada guna sekiranya MPS menaikkan kadar cukai pintu sedangkan masih ramai pembayar cukai yang mengelak dari melangsaikan tunggakan cukai pintu masing-masing.

“MPS perlu memikirkan kaedah bagi menarik orang ramai untuk membayar cukai pintu yang tertunggak. Dengan tunggakan lebih RM40 juta ini, banyak benda yang boleh MPS lakukan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan mereka.

“Ini adalah usaha yang paling bertepatan dilakukan lebih-lebih lagi Sandakan sedang dalam perancangan untuk dinaiktaraf kepada status Bandaraya,” jelasnya.

Beliau tidak membantah dengan cadangan MPS mahu menaikkan kadar cukai pintu, bagaimanapun cadangan itu perlu dikaji semula kerana kesannya akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Sebelum ini MPS telah mengeluarkan notis berhubung pelaksanaan kenaikan kadar cukai pintu bermula Januari 2024.