SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) digesa untuk mengambil tindakan tangkas untus menangani masalah anjing liar yang membahayakan penduduk di kawasan Karamunting.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata beliau telah menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai masalah tersebut yang kini menjadi semakin serius.
“Ada beberapa kejadian di mana penduduk dikejar dan digigit anjing liar di tempat awam di kawasan Karamunting. Ini telah menjadikan penduduk amat gusar dan risau akan keselamatan mereka.
“Masalah ini bukan sahaja timbul di kawasan perkampungan, tetapi juga tempat komersial seperti pasar dan lot kedai.
“Justeru, saya telah berjumpa dengan Presiden MPS, Henry Idol untuk membincangkan masalah ini dan meminta mereka untuk menangkap anjing liar di samping menambah tempat kurungan (sangkar) bagi menempatkan anjing yang ditangkap,” katanya.
Di samping itu, George juga menyarankan agar MPS bekerjasama dengan pelbagai jabatan serta pihak swasta bagi mencapai suatu jalan penyelesaian untuk mengurangkan pembiakan anjing liar di daerah ini.
Sebagai jalan penyelesaian jangka pendek, MPS akan menangkap anjing liar di sekitar kawasan Pasar Taman Mawar, Pasar Bandar Ramai-Ramai, Pasar Karamunting dan Pasar Karamunting.
Pihak MPS juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan tenaga kerja pasukan yang bertanggungjawab untuk menangkap anjing liar.
Sementara itu, George menyeru agar penduduk berfikir masak-masak sebelum membela anjing berikutan antara faktor lambakan anjing liar disebabkan ada pemilik telah meninggalkan haiwan itu di tempat awam.
Katanya, ini bukan sahaja satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan, tetapi ia juga akan menimbulkan ancaman keselamatan kepada penduduk di sekitar kawasan itu.
“Saya berharap selepas sesi perjumpaan saya bersama MPS, mereka akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu kehidupan seharian penduduk setempat di sini.
“Seperti yang saya selalu katakan, perkara yang melibatkan keselamatan penduduk harus menjadi keutamaan kita sebagai pemimpin dan kakitangan yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.