Guru wanita kerugian RM2,000 disamun selepas keretanya dirempuh di Sandakan

SANDAKAN : Seorang guru wanita berumur 47 tahun menjadi mangsa samun dan mengalami kerugian dianggarkan RM2,000 dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi berhampiran simpang masuk Jambatan Merah, Jalan Utara di Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 5.30 pagi semasa mangsa memandu kenderaan bersendirian dari rumahnya di Taman Megah, Batu 8 menuju ke tempat kerja di Sekolah Menengah (SM) Sung Siew.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Camry.

“Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan untuk turun dan bertemu dengan pemandu Toyota Camry (suspek) yang telah melanggar kenderaan mangsa.

“Bagaimanapun, pemandu Toyota Camry (suspek) telah memukul mangsa dengan sebatang kayu namun mangsa sempat mengelak dan berlaku pergelutan.

“Suspek berjaya mendapatkan beg tangan mangsa dan melarikan diri menggunakan kenderaan itu,” katanya.

Menurut beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ke Balai Polis Sandakan untuk membuat laporan polis.

Jelasnya, pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan memohon kepada orang awam yang mempunyai maklumat bagi berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Kharuddin ditalian 013-9071709 bagi membantu siasatan.

Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392/297 Kanun Keseksaan.