LABUAN: Mangsa kebakaran di Kampung Patau-Patau 2 menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Labuan, Ketua Bahagian UMNO Labuan dan Perbadanan Labuan, semalam.
Datuk Suhaili Abdul Rahman menghulurkan sumbangan wang tunai bernilai RM16,500 kepada tiga keluarga yang terlibat.
Tiga keluarga yang menerima sumbangan itu ialah Aminah Asmat menerima sumbangan berjumlah RM10,000, manakala dua lagi ialah Munah Saruji RM5,000 dan Jamade Alias menerima RM1.500.
Suhaili berkata, sumbangan diberikan sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk meringankan beban mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Turut menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran itu ialah Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan selepas menyantuni keluarga mangsa menerusi Program Peduli Rakyat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Mohd Ismail juga berkesempatan menyantuni dan menyampaikan sumbangan musibah kepada mangsa kebakaran.
Pada Ahad lalu, enam sekeluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka 90 peratus musnah dijilat api dalam satu kebakaran rumah di Kampung Patau-Patau 2.
Dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, dua lagi rumah yang berdekatan dengan kejadian itu turut mengalami kerosakan kecil.
Kesemua mangsa yang melibatkan enam penghuni rumah yang musnah dalam kebakaran itu terselamat daripada sebarang kecederaan.