Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pemimpin masyarakat Tiong Hua Labuan meriah

LABUAN: Sambutan Majlis Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh beberapa pemimpin masyarakat Tionghua di pulau bebas cukai ini disambut dengan meriah apabila dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum.

Kehadiran mereka sekaligus memperlihatkan semangat perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan pelbagai anutan agama terus terjalin erat dan harmoni di pulau ini.

Antara pemimpin masyarakat tionghua yang mengadakan majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii yang diadakan di kediamannya di Kampung Sungai Bangat, kelmarin.

Lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang dan kaum hadir pada majlis itu yang bermula seawal jam 10 pagi hingga ke petang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman, Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Ketua Parti Warisan Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli, Timbalan Pengerusi Dewan Pernigaaan Cina Labuan Datuk Seri Robert Seah, Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan Datuk Dhalip Singh.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan, Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Daud.

Turut mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina ialah Pengarah Urusan Mega Port Management (MPM), Labuan Datuk Seri Patrik Tiong dan ahli perniagaan terkemuka Labuan, Puan Seri Wong.