KOTA KINABALU : Sustainable Future (SF), bersama rakan strategik Borneo Sabah Energy (BSE) dan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai syarikat bersekutu melancarkan Projek “Sustainable Mobility (Electric Vehicle) & Renewable Energy Solution” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Majlis ini mencerminkan usaha bersama ketiga-tiga organisasi untuk memperkukuh agenda tenaga hijau di Sabah, sekaligus menjadi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ini ke arah pembangunan mampan.
Pengerusi SF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata sebagai peneraju dalam teknologi mampan, SF terus komited untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Dengan mengintegrasikan penggunaan Kenderaan Elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu, SF percaya teknologi ini adalah kunci utama dalam menangani cabaran perubahan iklim serta mengubah landskap pengangkutan di Sabah.
“Kolaborasi strategik yang mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah ini dijangka membawa manfaat besar kepada negeri ini, termasuk mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kualiti udara, dan mengurangkan pencemaran bunyi.
“Penggunaan EV yang lebih meluas bukan sahaja menjimatkan kos bagi pengguna tetapi juga meletakkan Sabah sebagai pelopor inovasi hijau di Malaysia sekali gus berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan,”katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.
Beliau berkata KPF merupakan rakan bersekutu juga memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek ini memberikan impak positif kepada komuniti dan ekonomi tempatan.
“Ini sejajar dengan visi SF dan BSE untuk membawa perubahan mampan melalui teknologi hijau, sambil memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
“SF percaya bahawa pelancaran ini adalah langkah awal ke arah transformasi yang lebih besar, bukan sahaja untuk rakyat negeri Sabah tetapi juga untuk seluruh pelusuk Malaysia,” ujarnya.