KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mencabar Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan agar segera keluar dari gabungan kerajaan perpaduan.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Sazalye Donol berkata, ini susulan kenyataan Jeffery Kitingan melabelkan parti berpangkalan dari Semenanjung sebagai penjajah manakala pemimpinnya sebagai pengkhianat sangat keterlaluan serta berbentuk hasutan.
Katanya, ucapannya ketika di Majlis Pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam sekiranya jika sudah tidak boleh bekerjasama dengan parti dalam kerajaan perpaduan beliau (Jeffrey) perlu keluar segera daripada Kerajaan Perpaduan.
“Kita melihat kandungan ucapan Jeffrey sangat tidak sensitif terhadap kestabilan serta keamanan negara terutama di Negeri Sabah.
“PKR Sabah memahami sekali gus menghormati terhadap tuntutan hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi mereka perlulah dibuat secara berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalye berkata, keberadaan parti berpangkalan dari semenanjung Malaysia tidak melanggar perlembagaan Malaysia manakala pemimpinnya pula bukanlah kalangan menjadi pengkhianat seperti dilabel oleh Jeffrey.
“Melabel dan menuduh dengan tuduhan liar teresebut amat tidak bertanggungjawab sekali gus boleh dikategorikan sebagai berbentuk hasutan.
“PKR Sabah ingin bertanya, setakat ini selain dari retorik bermusim Jeffrey terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apa kejayaan beliau capai dalam memperjuangkan MA63…..Tiada,” jelas Sazalye.
Menurutnya, semua hak dikembalikan semula setakat ini adalah atas inisiatif serta persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum dituntut secara rasmi oleh mana-mana pihak semasa kerajaan Madani.